Pages

Wednesday, August 25, 2010

Rindu Muslimah



Ramadhan telah tiba, bulan yang penuh dengan kelebihan dan ganjaran.Setiap detik di dalam bulan yang penuh keberkatan ini amat berharga dan kemungkinan amalan di bulan inilah yang memberikan perbezaan tempat kembalinya kita. Bagi muslimah yang menyedari hakikat ini, kedatangan ‘tempoh bercuti’ setiap bulan sangat tidak diharapkan pada bulan Ramadhan. Sering terdengar keluhan dari mereka yang haid kerana sedih merasakan tidak mampu merebut pahala ibadah di bulan ini, terutamanya sekiranya ‘ia’ datang ketika tempoh 10 malam terakhir. Malah, ada yang sanggup mengambil ubat penghalang datangnya haid semata-mata untuk memanfaatkan sebulan Ramadhan. Namun, ubatan sebegini kadang kala tidak memberikan kesan yang diharapkan malah lebih mengganggu kestabilan hormon.

Sememangnya perasaan sedih ini hanya akan lahir dari hati seorang muslimah yang sangat mengharapkan keampunan dan ganjaran daripada Tuhannya. Saidatina Aisyah R.A sendiri pernah menitiskan air mata kesedihan kerana merasakan hilangnya peluang beramal dengan kedatangan haid. Namun, haid sebenarnya bukanlah satu perkara yang buruk, bukan jua satu kekurangan yang patut ditangisi, kerana disebaliknya masih ada peluang merebut ganjaran di bulan yang mulia ini.

Mari kita lihat,bagaimana Rasulullah S.A.W menangani perasaan Aisyah apabila beliau menangis kesedihan ketika didatangi haid ketika menunaikan haji.Baginda S.A.W bersabda yang bermaksud: “Ini adalah suatu yang ditetapkan Allah ke atas anak-anak perempuan Adam, maka tunaikanlah apa yang ditunaikan oleh orang yang melakukan haji kecuali janganlah kamu bertawaf di Baitullah sehinggalah kamu telah mandi (suci dari haid)”. (Riwayat Muslim).
Haid adalah suatu ketentuan yang telah Allah tetapkan ke atas kita (anak-anak perempuan Adam), maka kita sepatutnya redha di atas ketentuan ini. Redha merupakan salah satu daripada ibadah hati. Keredhaan kepada Allah sebagai Tuhan menuntut keredhaan atas apa yang diperintahkan-Nya dan apa yang ditetapkan oleh-Nya.

Redha

Redha di atas apa yang Allah perintahkan ke atas kita bermaksud kita menyembah-Nya sebagaimana yang Dia perintahkan untuk kita lakukan, bukan sebagaimana yang kita suka untuk lakukan. Tahukah anda bahawa perbuatan anda berbuka puasa disebabkan haid merupakan suatu ibadah? Ini kerana Allahlah yang memerintahkan kita untuk berpuasa pada hari-hari kita tidak didatangi haid, dan Allah jualah yang memerintahkan kita untuk berbuka ketika sedang haid, maka berpuasa ketika haid merupakan suatu dosa kerana anda dikira melanggar perintah-Nya.

Redha di atas apa yang Allah tetapkan ke atas hambanya pula bermaksud penerimaan atas apa yang Allah telah ciptakan kita dan apa yang Allah fitrahkan ke atas diri kita, termasuklah apa yang Allah tetapkan ketika tempoh haid, dengan hati dan jiwa yang tenang. Perasaan sedih merupakan suatu bentuk penentangan atas ketentuan Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. “(An-Nisa’:32)

Oleh itu, sekiranya anda redha dengan sebenar-benar redha anda telah mengerjakan ibadah hati yang dengannya kita akan merasai kemanisan iman. Ibadah ini mungkin tidak dikerjakan oleh kebanyakan mereka yang sedang suci, malah mungkin tidak dikerjakan oleh kaum lelaki! Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Telah merasai kemanisan iman barangsiapa yang redha dengan Allah sebagai Tuhan, dan dengan Islam sebagai deen, dan dengan Muhammad sebagai nabi dan rasul.”(Riwayat Muslim)

Rindu

Rindu seorang muslimah yang sedang haid untuk melakukan solat dan membaca Al-Qur’an juga merupakan suatu ibadah yang tidak didapati di kalangan mereka yang sedang suci. Malah sekiranya terdapat rindu di hati kita untuk melakukan ibadah, kita lebih baik berbanding mereka yang melakukan ibadah, tapi dalam masa yang sama merasakannya sebagai suatu beban dan kesusahan. Lebih istimewa, perasaan gembira seorang muslimah kerana dapat mengerjakan ibadah selepas tamat tempoh haid adalah suatu perasaan yang Allah khususkan untuk kaum wanita sahaja. Maka bersyukurlah!

Bilakah Haid Menjadi Masalah?

Haid menjadi masalah apabila seorang muslimah merasakan telah hilangnya peluang bagi mendapatkan ganjaran di bulan Ramadhan, kerana dia tidak oleh berpuasa dan menunaikan solat tarawih. Sedangkan tanpa dia sedari pintu-pintu syurga masih terbuka untuknya, dan para malaikat masih memanggil-manggil pencari kebaikan. Dan sekiranya dia melakukan suatu kebaikan ganjarannya seperti dia melakukan suatu kefardhuan. Seorang muslimah yang haid sebenarnya masih mempunyai banyak peluang untuk mendapatkan ganjaran dan kelebihan bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan zikir dan selawat ke atas Nabi S.A.W,mendengar bacaan Al-Qur’an, membaca buku-buku yang bermanfaat dan sebagainya.

Tunaikanlah Keperluanmu Yang Berpuasa!

Seorang muslimah yang bijak, dia akan cuba sedaya upaya memanfaatkan setiap detik ketika bulan Ramadhan walaupun ketika sedang haid. Mungkin kita terhalang daripada berpuasa dan menunaikan solat tarawih, namun kita masih boleh mendapat ganjaran dengan menyediakan makanan untuk orang yang berpuasa, menunaikan keperluan ukhti yang keletihan disebabkan puasa, menjaga anak-anak kecil ketika ibu mereka sedang solat di masjid, bersedekah dan sebagainya. Semoga kita beroleh pahala sebagaimana mereka yang berpuasa dan menunaikan solat.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Barangsiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala sepertinya, dan ianya tidak akan mengurangkan pahala orang yang berpuasa sedikitpun”(Riwayat Tarmizi).

* saya mengalami dilema bila saya menghadapi haid pada hari pertama puasa, pada saat itu, saya sempat menikmati terawih pertama, dan saya ingin rasa lagi pada hari esoknya, tapi saya kecewa, dan dalam tempoh yang panjang ini saya hanya mengharap agar iman saya tak berubah. [jika saya masih berkesempatan menikmati ramadhan akan datang] dan dilema saya terjawab selepas membaca article ini... (^_^) dan saya rasa lega dan akan terus mencari cinta Illahi itu >> seterusnya saya ingin mengawal amarah saya!!!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jana Pendapatan Sekarang!